Saturday 31 January 2009

Coretannya Hilang

Atas sekeping nota
Ku titipkan coretan
Ingatan dan pesan
Lalu ku simpan
Sebelum ladeni mimpi malam

Mimpi malam datang
Bawa daku tinggi keawan
Dan bulan bintang jadi teman

Saat mimpi malam pulang
Bawa sama bulan dan bintang
Lalu ku cari titipan semalam
Dan ku temui nota kemas tersimpan
Tapi coretannya telah hilang

Thursday 29 January 2009

Reflecting

I had wrote this down on a piece of paper note and put it on a soft board in my room couple of years back during my undergraduate studies.

Reflecting
tornado
day
by
day

Here it goes again. Different place, different time, different situation. Well, world's spinning, things change.


I'm standing here, in the same body. But does it mean I'm still the same person?





Video Everybody's Changing oleh Keane, tiada kaitan dengan entri

Tuesday 27 January 2009

Ketibaan

Penulis tiba di Dundee sekitar 10.14 malam. Tiada siapa yang menjemput penulis pulang ke kediaman di Blackness Street melainkan pakcik driver teksi yang tersedia menanti di luar stesen keretapi. Bayaran £4.40 itu sangat mencukupi lantaran jarak yang memisahkan kediaman penulis dan stesen keretapi sekitar 30 minit dalam ukuran berjalan kaki secara santai dan bersahaja.

Sandi dan Alona ada dirumah ketika penulis tiba. Sandi ada siapkan nasi beriyani ayam. Memandangkan penulis lebih teruja untuk menggantikan mentol lampu putih yang baru diperoleh, beriyani ayam dikesampingkan buat sementara waktu.

Bilik penulis kini diterangi cahaya lampu putih suci. Tidak lagi seperti sebelum ini, dan juga hampir di mana-mana bilik di UK ini yang diterangi lampu cahaya kuning. Kuning yang mungkinnya romantis, dan kuning yang membuatkan penulis mudah mengantuk setiap kali. "Itu pasal la order mentol dari jauh" jerit hati kecil penulis pada yang kurang mengerti dalam isu pembelian mentol tempoh hari.

Proses penukaran mentol berjalan sempurna. Sesi percubaan juga begitu. Penulis menatap penuh makna segenap isi bilik yang kini dilimpahi pancaran putih suci, bukan lagi warna kuning telur seperti sebelumnya. Dan penulis pun keluar mencari sesuap nasi di dapur. Dan rasa nasi ayam beriyani itu pun boleh tahan juga.

Kredit:
Special Agent Jai- Succesfull in locating, buying and packaging
Special Agent Upi- Successful in transporting and keeping

Monday 26 January 2009

Berantakan

Mentari merangkak pergi
Pancaran kuning itu kian lemah, menghilang
Gerombolan awan beriringan
Menyesar, berantakan

Angkasa kian hitam
Bayu malam menderu, meresapkan kedinginan
Pengembalian sang angin selatan
Dalam kebersamaan
Bulan jua bintang

Bila esok tiba nanti
Terungkaikah kekusutan seribu persoalan?

Brackenbury, Durham 2009

Friday 23 January 2009

Hujung Minggu Ini

Hujung minggu ini pasti antara yang paling sibuk bagi diri penulis.

Esok pagi(Sabtu) penulis akan membawa diri bersama-sama kumpulan melayu Dundee berhaluan kanan ke Aberdeen. Ada kursus kursus solat dianjurkan disana. Apalah kiranya pengetahuan solat Version 1.0(belaja masa derajah satu) yang diupdate sikit-sikit sampai sekolah menengah itu di tingkatkan kualiti kefahamannya serta diberi penambahbaikkan selaras dengan perkembangan institusi akal dan minda yang lebih dewasa.

Perancangannya, seawal pukul 7pagi lagi ahli rombongan dijangka akan menggolekkan tayar. Abang Mahzan yang akan menjadi pemandu-bukan-peribadi penulis sudah memberi amaran awal, "puko ne pat limo(pukul 6.45), siap, turun". Kalau tak dipenuhi tuntutan, alamat tak merasalah keselesaan ke Aberdeen dalam Vauxhall Astra 1.8 itu.

Kursus dijangka selesai sekitar 9 malam. Jika dibuat kamiran terhadap ruang dan masa bersandarkan parameter halaju, penulis dijangka selamat sampai di Dundee sekitar 11malam.

Esoknya pula (Ahad) penulis akan ke Durham untuk kesekian kalinya. Lebih kurang tiga hari juga penulis akan berada disana. Petang Selasa baru penulis pulang. Jikalau diadaptasi persekitaran Malaysia, sudah tentu penulis dianggap sebagai menyambut(bercuti) raya cina di sana. Train yang dah diorder perjalanannya akan bertolak selepas pukul 7pagi. Walaupun pada saat ini kurang pasti dengan tepat pukul berapa perjalanan akan bermula, penulis sekadar mengingatkan diri 'kalau salah pun tertinggal train, bukan kapal terbang'. Pengalaman penulis 'ter'hanyut ke Colombo, Sri Lanka memang sentiasa segar diingatan.

Ya, ada beberapa misi yang perlu penulis selesaikan disana. Ada warkah tanpa tulisan akan dibawa bersama untuk disampaikan kepada penghuni Cantebury Brackenbury. 'Terpaksa' juga tuntut barang-barang yang diorder dari Malaysia tempoh hari. Ada teman di Bowburn bakal kembali ke tanah air sedikit masa lagi. Sekurang-kurangnya sempat menitip kata perpisahan.

Oleh kerana matahari semakin meninggi dan sekolah memanggil-manggil dan melambai-lambai, penulis menamatkan dahulu sesi update blog kali ini.

Wassalam

[caption id="attachment_327" align="alignnone" width="224" caption="Masa di di University of Aberdeen tahun lepas: Sendirian"]Masa di di University of Aberdeen tahun lepas: Sendiri[/caption]

Friday 16 January 2009

Satu Petang dalam Ingatan

Kipas siling berputar ligat. Aku keseorangan di bilik. Rumet entah dimana. Cikgu Asuar ada meeting dengan Dr Ishak di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP). Biasanya, petang nanti baru selesai. Jam masih belum menghampiri pukul 3.

Handphone Nokia 3120 tiba-tiba berdering, disapa panggilan dari nombor yang aku tidak kenali.

AA: Wei, Mahadi...
M: Ya, sapa ni?
AA: Ni Abg Amet. Aku kt dalam pulau. Hang ada mana la ni?
M: Oh, Abg Amet, kat bilik kat USM ni, awat?
AA: Hang ada keja apa-apa ka nak buat la ni?
M: La ni takdak apa-apa

Tiba-tiba terlintas aku perlu membuat satu panggilan petang ini sekitar 4.30 dan Cikgu Asuar juga selesai meeting dalam lingkungan masa itu.

M: Tapi petang nanti ada keja lain, awatnya?"
AA: Lagu ni, aku ngan trailer kat dalam Penang ni, depan Seagate. Aku nak pi amik lesen aku baru renew kat Juru, tak jauh ngan Autocity. Hang pi hantar aku sat buleh dak?
M: Lama dak tu?
AA: Sat ja. Lepas setel trus balik la.
M: Ok, tunggu situ. Sat lagi sampai

Aku bingkas bangun. Capai 2 helmet dan terus beredar menuju tempat parkir motosikal. Aku memilih jalan short-cut ke seagate. Tidak sampai 10minit tibalah di destinasi. Kelihatan trailer tanpa muatan berkepala putih sedang parkir di bahu jalan, betul-betul depan kilang elektronik Seagate.

Tika itu air laut tengah naik. Aku dapat lihat batu-batu yang ditambak sekitar pantai mulai digenangi air. Air laut masa itu jernih, bayu pula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Daun-daun pohon casuarina yang memberi keteduhan melambai-lambai.

Aku beri satu helmet pada Abg Amet. Dia gapai dan kami terus meluncur laju menuju ke seberang.

Ketika di pertengahan Jambatan Pulau Pinang, EX5 yang kami naiki menunjukkan simptom-simptom kurang bersemangat. Aku tidak terkejut. Agak lama EX5 ini tidak dihantar servis(a.k.a tukar minyak hitam). Maka tidak hairanlah kiranya daya memotong kenderaan-kenderaan lain disepanjang jalan tidak dapat ditunjukkan sepenuhnya. Abg Amet yang membonceng dibelakang sekali-sekala mengomplen betapa banyak kenderaan yang gagal dipotong sempurna. Aku beri alasan bersahaja. Nasib baik adik dia lawa, getus aku dalam hati.

Walupun tika itu bukan waktu puncak, tapi bilangan kenderaan agak banyak. Nasib juga kami guna moto. Mencelah sana, mencelah sini, cilok sana, cilok sini. Akhirnya, sampai jugak kami di destinasi.

Abg Amet masuk ke dalam pejabat pos dan aku menunggu di luar. Tidak sampai sepuluh minit, semua urusan selesai. Abg Amet keluar sambil tersengih.

AA: Hang makan dak lagi? Jom pi singgah kedai tu.

Ala, rugi... fikirku dalam hati. Abg Amet nak belanja di kedai nasi kandar tidak jauh dari pejabat pos. Padahal, aku sedang berpuasa. Mungkin bukan rezeki aku kali ni.

M: Tak apalah. Lain kali sajalah. Nak kena balik cepat ni.

Aku cuba beri alasan.

AA: Ish tak mau ka.
M: Takpa la, takut nanti tak dan...
AA: Kalau camtu jom balikla. Nanti lewat pulak hang tu.

Dalam perjalanan pulang aku dapat perhatikan bilangan kenderaan makin bertambah di highway Juru, Jambatan Pulau Pinang, hinggalah sepanjang highway menuju Bayan Lepas. Kami selamat tiba di depan Seagate tempat trailer parking tanpa sebarang masalah.

Abg Amet menghulurkan sesuatu. Mungkin pampasan kerana tidak berkesempatan belanja lunch masa itu. Riak wajahnya ada sedikit terkilan. Aku sambut lalu simpan kemas.

Jam sudah menghampiri 4.30 petang tika aku tiba di USM. Aku lantas membuat panggilan ke HR USM sepertimana yang telah dipinta sebelum itu.

'Nanti kami akan panggil interview'...

Dipendekkan cerita, itu jawapan yang diberikan kerani yang bertugas. Aku sedikit terkejut. Bersediakah aku, tanyaku dalam hati.

Cikgu Asuar menelefonku sekitar jam 5.30. Khabarnya, meeting dengan Dr Ishak hampir tamat. Aku sudah boleh bersiap sedia.

Menderu aku ke PPIP. Biasanya Cikgu Asuar akan menunggu di depan Dewan Kuliah Z. Namun, tiada sesiapa disitu. Aku cuba call Cikgu Asuar...

'Sikit lagi nak siap, nanti saya call bila dah siap.'

Itu katanya. Aku ambil keputusan untuk ke tebing tinggi berdekatan HEP. Pemandangan indah sejauh mata memandang bisa mendamaikan dam mententeramkan jiwa sementara menunggu.


Di tebing, aku lemparkan pandangan ke jauh selat, jambatan dah jauh ke seberang laut sana. Sebahagian lagu "Kehidupan" yang dialunkan oleh The Zikr bermain-main di fikiran dan menemaniku bersama-sama.

"Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus, tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu, pasti cerah kembali

Ujian adalah, tarbiah dari Allah
Apakah kita 'kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan"

Cikgu Asuar call tidak lama kemudian. Dia sudah selesai meeting dan menunggu ku depan Dewan Kuliah Z.

Dia ajak makan malam di kedai nasi kandar Shariff dekat Minden bila tiba waktu berbuka nanti. Aku mengiyakan sahaja. Selalunya, dia yang akan belanja. Lumrah hidup sebagai student ketika itu.

Aku bawa Cikgu Asuar pulang ke bilik untuk solat asar. Lepas solat, kami terus bertolak ke kedai nasi kandar Shariff. Kelihatan ramai pelanggan sudah beratur ambil giliran. Memang kedai Shariff sebegitu, sangat mendapat sambutan dari dulu.

Saturday 10 January 2009

Pagi di persada

Aku memulakan rutin harian di persada ini seperti biasa.
Tenang dan damai.
Aku bawa bersama mug setia berisi Nescafe.
Isinya kuhirup perlahan-lahan, sedikit demi sedikit.
Aku baringkan diri diruangan yang agak sempit ini.
Tapi kukira ia cukup luas. Cukup sekadar.
Asalkan diri dekat denganNya.
Asalkan nikmatNya kusyukuri sentiasa.
Buat bekalan dalam perjalanan seharian.
Itu yang paling utama.

Thursday 8 January 2009

Hentian

Hentian ini hentian sementara
Aku tidak kesesatan
Aku masih nampak jalan yang lurus terbentang
Aku berhenti sekadar cuma
Menghela nafas, mengisi bekalan
Aku 'kan terus melangkah jauh
Bersama panduan yang telah ditetapkan

Monday 5 January 2009

Petang, sayap dan salji

Petang itu sungguh damai. Walaupun, ironinya tengah hari sebelum itu awan mega mendung gelap berarak di segenap angkasa. Aku terdengar latar suara burung-burung berkicau riang. Matahari kian merangkak pergi.

Aku disapa teman yang belum pernah aku ketemu fizikalnya. Khabar yang menggembirakan. Tak lama lagi dia akan beroleh sayap putih melepak yang membolehkannya mengepak jauh ke bumi eropah. Itupun setelah puas memujuk seorang wanita yang bukan sebarangan itu. Wanita yang bukan sebarangan itu juga amat ku kenal kerna sempat menjalani perhubungan bos-kuli semasa aku masih menuntut ijazah pertama dulu. Dan aku tumpang gembira dan berbangga dengan kejayaan teman itu.

Tiba-tiba, aku terkenang kembali saat mula-mula salji putih suci itu menimpa-nimpa diriku yang suci ini. Di bumi eropah itulah. Aku tenggelam dalam khayalan seketika. Kasihan temanku yang seorang itu yang terpaksa menjadi jurukamera rasmi tak berbayar, ambil pose aku dengan salji disana dan disini, begitu dan begini, arah itu dan arah ini, pusing sana dan pusing ini. Natijahnya, aku di menerima kutukan bertalu-talu dari teman-teman lain yang terlebih dulu makan salji dari aku. Hampagas!(hampeh).

Ah. Malam kelam masih menjengah awal. Tak tersedar yang teman tadi telah beransur membawa diri. Harap bersua dilain kali.

Sunday 4 January 2009

Malam

Aku lewati mimpi malam
Malam gelap
Hitam pekat
Bintang-bintang bertebaran di angkasa raya

Dan tiba-tiba
Terpancul garis cahaya membelah angkasa
Menerangi segenap alam buana

Dan seketika cahaya pun hilang
Yang tinggal hanya kelam
Bersama tompokan bintang-bintang yang berserakan
Menemani malam

Thursday 1 January 2009

Penjaga

Petang itu, aku melewati denai-denai menuju satu perbatasan yang cukup aku kenali. Perbatasan yang memisahkan sempadan. Aku ingin cuba untuk masuk kedaerah didalam. Namun di luar pagar, aku temui seseorang. Yang pasti dia bukan penjaga taman. Perwatakannya agak serius, dalam erti kata tegas, namun bersahaja.

Aku: Salam buat saudara

Dia: Salam kembali kepada saudara. Siapakah gerangan saudara? Boleh saya bantu?

Aku: Saya ini pengembara yang lalu lalang. Kalau tidak silap, taman didalam pagar ini pernah saya singgah suatu ketika dulu. Indahnya bukan sebarang. Pengunjungnya juga bukan sebarang orang. Tapi anehnya, kelihatan pagarnya ditutup rapi. Mengapa ya begitu?

Dia: Oh ya. Mungkin ada yang sedar dan ada yang tidak. Taman itu punya penjaga yang diamanahkan mentadbir hal ehwal penghuni dan hidupan-hidupan taman. Dia juga pengawal-selia kepada segala macam perihal pengunjung-pungunjung yang lalu-lalang dan menumpang singgah di pohon-pohon taman. Kiranya pada masa ini, penjaga itu diserang demam. Maka, setakat ini, taman ini tiada penjaganya dan maka dengan itu juga ia tidak dibuka.

Aku: Oh, begitu. Harapnya penjaga taman itu cepat sembuh dari demam. Pasti ramai pengunjung-pengunjung taman, jua seperti saya ini ingin dan mau bebas menelusuri isi-isi taman yang indah dan mengasyikkan itu.

Dia: Ya. Itulah harapan kita, jua yang lain-lainnya.

***

Selepas mengucapkan kata perpisahan, aku memulakan langkah meninggalkan jejak menuju kehadapan dengan harapan yang pasti, aku akan kembali lagi.

'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO