Friday, 1 February 2008

Kajian KDNK, Kolam Air Panas dan Tuisyen

Setahun lalu. Baru saja berlalu.
Tapi dirasakan seperti sudah sekian lamanya.



 



    Aku tidak pulang
bercuti pada cuti pertengahan semester kedua tahun lalu. Ada kerja. Ya, banyak
kerja. Aku terlibat secara langsung dalam kajian yang dilakukan oleh Pusat
Pengajian Sains Sosial USM. Kajian tentang Membangunkan Metodologi bagi
Pengiraan KDNK Pulau Pinang. Jadi, apa signifikannya korelasi antara Sains
Fizik, Sains Sosial dan KDNK? Sememangnya tiada. Aku sekadar menjadi ‘budak
penghantar surat', menyampaikan dokumen kajian kepada syarikat-syarikat yang
berkenaan, di segenap pelusuk Georgetown serta kawasan sekitarnya. Namun, aku
tak keseorangan. Beberapa teman rapat juga turut serta. Aku dan Zamree
bergabung sebagai satu pasukan, dengan berbekalkan strategi yang agak berkesan,
hampir semua dokumen selamat sampai ke alamat yang disertakan.



    Kerja biasanya bermula
seawal 8 pagi dan berakhir sekitar 6 petang. Disebabkan pendedahan kepada sinar
UV matahari yang agak lama sepanjang tempoh bertugas, pigmen-pigmen kulit mula
berubah. Terbakar, kata orang. Di malamnya pula aku masuk bertugas di sebuah
pusat tuisyen di kampung Jawa, Bayan Lepas. Sememangnya minggu yang penuh
dengan kerja, dan amat meletihkan.



    Hari jumaat minggu
tersebut adalah hari yang paling menyeronokkan. Juga hari terakhir kami
bertugas. Dr Ida agak berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan kami sepanjang
menjalankan tugas. Bayaran yang kami terima cukup untuk masing-masing
mengukirkan senyuman bak iklan ubat gigi tanpa florida. Am yang bertugas
sebagai RO membawa kami ke medan ikan bakar berhampiran bulantan dekat
Queensbay. Memang puas hati makan disitu, dan bertambah puas hati apabila Am
yang keluarkan belanja.



    Dalampada kami
mengoyak isi-isi ikan dengan lahapnya, tiba-tiba    terpancul idea
untuk menyambut malam tamatnya bertugas ke kolam air panas Ulu Legong. Walaupun
sumber asal idea tidak dapat dipastikan, namun, kata orang ‘plan memang jadi’.
Hanya empat orang yang turut serta, kurang mendapat sambutan, berbanding hampir
sepuluh orang pada minggu sebelumnya. Aku, Zahir, Daus dan Am membulatkan tekad
untuk sampai ke destinasi, di saat malam semakin larut.



    Mungkin kerana
rombongan kali ini yang kurang ahli, dan berasaskan fakta bahawa medium
pegangkutan yang digunakan adalah motosikal, maka perjalanan dirasakan cukup
panjang. Begitupun, kami selamat tiba sekitar 1.30 pagi. Pengunjung juga agak
ramai, tetapi air kolam kali ini dirasakan lebih panas dari sebelumnya. Kami
bertolak pulang setelah puas berendam. Tika itu, jam sudah menghampiri 5 pagi.



    Perjalanan pulang
lebih meletihkan. Aku membonceng motosikal Zahir, dan Daus pula bersama Am.
Untuk menghilangkan rasa pening, keletihan dan mengantuk yang amat sangat, aku
dan Zahir mula menyumbangkan suara ke persekitaran sepanjang perjalanan.
Mulanya lagu nasyid, diikuti lagu Siti Nurhaliza. Segalanya beres, walaupun
ungkapan lirik adakala merupakan ciptaan sendiri tatkala lirik asal gagal
dihafal sempurna, di tambah kenyataan bahawa tiada juri-juri profesional
mahupun juri awam yang akan mengkritik. Setelah buntu untuk meneruskan
kesinambungan lagu peneman perjalanan, lagu-lagu pengakap pula menjadi mangsa.
Maka, menghamburlah lagu Aruke, Yamko Rambei Yamko, Proton Saga Kelabu, Gunung
Kinabalu, Kau Sahabat, Biake, Pulut Durian, serta bermacam-macam lagi lagu yang
terkumpul di benak ini sekian kalinya. Kalau Cikgu Pi’e turut serta mendengar,
pasti dia bangga.







    Kami tiba di USM
seawal tujuh pagi. Setelah menyelesaikan apa yang patut, aku merebahkan diri
diatas katil lingkungan sejam lamanya, sebelum bangkit kembali. Selepas bersiap
ala kadar, aku kembali masuk bertugas di pusat tuisyen sekitar jam 9 pagi.







Img_0179

'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO