Saturday 17 May 2008

Kini

Syukur padaMu Tuhan, pemberi rahmat sekalian Alam. Daku bernafas sempurna
dan jari-jemari ini masih ligat menekan kekunci.



 

 



Setelah
dihitung-hitung, di bilang-bilang, di congak-congak, sudah lebih lapan bulan
rupanya aku disini. Sedikit hari lagi genaplah setahun. Hala tuju dihadapan
agak samar-samar. Sekejap terang, sakejap gelap, sekejap suram. Yang pasti,
jalan dibelakang itu jelas kelihatan.



Bagaimanakah
negara tercintaku kini? Seperti dahulukah? Adapun khabarnya suasana politik
banyak berubah, ku harap, tanah bertuah itu masih seperti dulu. Masih memberi
pengharapan kepada manusia-manusia yang menghuni di atasnya umtuk terus hidup
dan berjuang.



Apa khabar ya
pantai-pantai Pulau Pinang. Masih setia kah ombak-ombak bersama buih-buih
keputihan menghempas ke butiran pasir. Bagaimana ya Bukit Bendera. Ceriakah ia
tanpa hadirku saban waktu. Kalau dahulu. Aku sering membawa bersama anak-anak
sekolah sekitar Seberang Perai dan freshie-freshie USM menelusuri denai-denai
ke puncak. Dan kemudian turun menggunakan keretapi bukit. Masih bermain-main
difikiran telatah seorang demi seorang. Rata-rata memang kuat semangatnya.



Menara Ilmu
Bumi Minden pula bagaimana? Pastinya sunyi tanpa gelagat mahasiswa-mahasiawa
yang kebanyakannya berada di desa halaman masing-masing. Setia menanti kah VC Rock
di depan kediaman Naib Canselor itu. Setia menghadap sinar mentari terbit di
kala syuruk. Tebing berhampiran HEP pula bagaimana? Masih terpaksakah menjadi
saksi bisu kelakuan makhluk-makluk yang tidak stabil hormonnya.



Aku? Aku
baik-baik saja disini. Seperti biasa, masih menghirup secawan Nescafe bersama
mug yang setia tiap saban pagi hari. Perjalanan yang panjang ini membawaku
untuk lebih kenal erti kehidupan. Yang bukan sekadar tempat persinggahan
mencari keseronokan. Dan semakin jauh ku tinggalkan daerah lampau. Darah muda
itu bisa kering mengalir. Teringat kata-kata pensyarah kursus Solid State
Physics itu, ‘Manusia itu mudanya ia memperkatakan tentang masa hadapan,
dewasanya ia memperkatakan tentang masa kini, berumurnya ia memperkatakan tentang
masa silam’.







pict: 'Musim Bunga' di USM
Musim_bunga_12

Tuesday 6 May 2008

Karya Silam

Dalam pada menyorot kembali e-mel-e-mel silam yang tersimpan kemas dalam cakera keras server Yahoo Inc., penulis terjumpa sebuah puisi lama. Puisi ini dicoretkan kepada teman-teman setengah dekad yang lalu. Walaupun kini penulis sendiri kurang jelas dengan maksud yang ingin cuba disampaikan, tetapi penulis sekadar berpesan kepada diri: 'darah muda lagi masa tu...'.

Khas buat pembaca-pembaca sekalian, terimalah...



(Untitled)

Melangkau runtuhan kota setia
Menjengah runut suara sengketa
Melewati deretan himpunan batu bata
Terlihat disana angin selatan membawa warkah berita

Mungkin hanya satu cebisan catatan pengembara
Yang tak mungkin dapat bercerita seribu peristiwa

Maka bertanyalah mereka pada Sang Pujangga
Lalu Sang Pujangga merangkai kata kata atas bicara
Hingga tiadalah apa yang memahaminya
"Suria tunduk di pinggir samudera"

Lalu mereka pun tertawa
Tawa yang mereka sendiri tidak tahu mengapa
Lalu diasingkan mereka antara keduanya

Tika fajar menerbitkan sinar mentari
Tika embun mula berhalusinasi
Awan gemawan menyesar mencorak ruang
Mencapai garis garis hitam lalu hilang

Paduan penyair menyaksi
Persis titis-titis duri
Yang hilang menyepi
Tinggallah ia seorang diri

Mohd Mahadi Halim
Sains dengan Pendidikan (1)
F26, 115C, Desasiswa Harapan,
Universiti Sains Malaysia
(23 Ogos 2003)

Ujian

Aku keluar dari rumah suci, jumpa Bro Arab yg juga sama-sama  ingin berjalan pulang.







Aku:  Bagaimana hari ini?



Bro Arab: Baik, kamu bagaimana?



Aku: Juga baik. Cumanya agak celaru dengan projek.



Bro Arab: Ya, sahaya kini agak gementar dengan ujian akhir minggu hadapan. Kamu do'akan untuk sahaya ya.



Aku: Ya, Insya'Allah. Berusaha pastinya kan berjaya.



Bro Arab: Tapi ada satu ujian yang lebih penting dan lebih besar. Semua umat manusia akan hadapinya. Disana nanti.



Aku: Ya, ya.







Simpang Brown Street dan Guthrie Street memisahkan aku dan Bro Arab. Kami lalu membawa haluan masing-masing.




'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO