Monday, 24 September 2007

Missing Pieces

Aku masih belum stabil sepenuhnya. Terasa demam diwaktu pagi, namun baik sebelah petangnya. Begitupun, rutin harianku masih berjalan seperti biasa. Iftar di Dundee Mosque, bertadarus, bertarawikh bersama-sama komuniti melayu Dundee.



Aku agak bernasib baik. Sehingga hari ini, aku belum lagi 'miss' untuk makan nasi. Mujur penganjur iftar di Dundee Mosque adalah terdiri dari majoriti komuniti Pakistan. Menu utama sememangnya nasi. Cuma adakala roti pita turut disediakan sebagai tambahan.



Sahurku disini agak tidak teratur. Sering sahaja terlepas. Pernah beberapa kali aku bercadang untuk memasak nasi goreng. Maka, malam sebelumnya aku akan memasak segengam dua beras basmati yang aku beli di Tesco. Namun, harapan tinggal harapan. Sama ada kesuntukan masa sebab terlewat ataupun aku langsung tidak sempat sahur langsung. Tinggal sendirian sememangnya agak sukar.



Sejak dilanda demam dan yang paling teruk pada hari sabtu lepas, fikiranku bertebaran jatuh entah kemana. Adakala aku nampak Bandar Georgetown, aku berada disana. Aku memandang sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai dari puncak Bukit Bendera. Aku merayau-rayau sekitar Taman Tun Sardon, di Jalan Pekeliling, di USM, Sungai Dua, Penaga. Aku juga nampak diriku ketika berada di Kolej Mara Kulim. Menjalani kehidupan disana. Sememangnya kehidupanku banyak bermula di situ. Dan banyak lagi tempat-tempat lain yang aku lewati.



Kepingan-kepingan ini jauh tersebar melepasi benua dan merentas masa. Aku cuba mengumpulkan sebahagian. Agak mustahil untuk aku kumpul semua sekaligus. Dan disini aku masih lagi berjalan, dan bersedia untuk berlari, berjuang.

Saturday, 22 September 2007

Kedua

Diserang demam ketika baru  tiba di perantauan bukanlah sesuatu yang dijangkakan. Hendaknya pula, di bulan puasa, tinggal bersendirian dibilik memang menambahkan lagi kesepian. Mujur, penulis sempat membeli  stok panadol sebanyak 60 biji sebelum berlepas dahulu. Jadi, penulis tidak perlu bersusah payah untuk ke farmasi. Dan juga sedikit nasihat dari bakal doktor yang penulis temui ketika iftar di Dundee Mosque banyak membantu penulis untuk sembuh dengan cepat.

Thursday, 20 September 2007

Catatan Pertama

Penulis tiba di bumi Dundee ini pada hari selasa, 11/09/2007, pukul 12tgh hari waktu tempatan. Kini, sudah seminggu lebih penulis berada disini. Agak banyak perkara untuk diceritakan. Namun, oleh kerana penulis masih tercari-cari istilah 'settle down', keinginan untuk dicoretkan di ruangan ini terpaksa ditahan.

Thursday, 6 September 2007

Kepada Sahabat-sahabat dan Teman-teman Sekalian

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.



Kepada pembaca yang dihormati sekalian. Disini penulis ingin mengumumkan keberangkatan penulis bagi melanjutkan pegajian keluar negara. Butir-butir pengajian adalah seperti berikut.



Kursus: M Sc



Bidang: Fizik



Tempat: University of Dundee, Scotland, UK.



Tajaan: USM-KPT



Tempoh: 12 Bulan



Tarikh Berangkat: 10 September 2007, Bayan Lepas, P. Pinang



Penulis ingin memohon maaf diatas kelewatan memaklumkan perkara ini disebabkan beberapa perkara dan permasalahan yang penulis hadapi, yang sukar untuk dijelaskan. Diharapkan, kalian dapat mendoakan kejayaan penulis sepanjang berada di perantauan. Penulis juga ingin mendoakan kejayaan kalian dalam apa jua yang kalian ceburi. Amiiin.

'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO