Friday 19 October 2007

Mengorak Langkah

Img_4762_1



Aku menghayun langkah demi langkah. Adakala memandang ke belakang, melihat jejak-jejak bekas yang tertinggal. Walaupun sudah lebih sebulan aku disini, namun bulan puasa baru saja berlalu. Kehidupan selepas bulan puasa agak berbeza. Jika sebelum ini aku jarang masak kecuali untuk bersahur, tetapi kini aku terpaksa masak setiap kali tiba waktu makan.



Aku memang selesa menjalani ibadah puasa disini. Cuaca yang nyaman dingin sekitar 8-14 darjah Celcius sememangnya tidak meletihkan. Cuma kadang-kadang letih disebabkan berulang-alik mendaki tangga ke tingkat 5 untuk balik ke bilik. Terutama pada hari basuhan dimana aku terpaksa turun-naik berulang kali untuk membasuh dan kemudian menukar basuhan ke mesin pengering. Adakala aku mengambil masa melelapkan mata seminit dua sementara menanti waktu berbuka puasa.



Hampir setiap hari aku berbuka di Dundee Mosque. Mungkin kerana lebih mudah, aku tidak perlu menyediakan sebarang juadah berbuka. Dan semestinya, aku tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja. Biasanya di masjid aku akan berbuka bersama-sama pelajar-pelajar Malaysia yang lain yang rata-ratanya mengambil jurusan perubatan. Abang Bob, calon PhD juga selalu datang bersama-sama tiga orang anaknya yang masih kecil. Kesemua anak-anak Abang Bob hanya tahu berbahasa Inggeris. Aku pernah melihat mereka menonton animasi berbahasa Malaysia, tetap mereka langsung tak faham apa yang diperkatakan.  Tetapi aku tertawa apabila mendapati mereka memahami dengan baik loghat Terengganu yang berbentuk arahan digunakan Abang Bob terhadap mereka.



Kadang-kadang Ustaz Amin juga hadir sama. Ustaz Amin merupakan Presiden Kesatuan Melayu Dundee. Beliau telah selesai memperoleh PhD, dan kini hanya menanti isterinya, Kak Fa yang juga dalam proses menyiapkan PhD. Pernah satu hari, ada satu juadah sampingan disediakan yang dipanggil sweet rice. Dek kerana mahu mencuba, aku ambil separuh pinggan. Ustaz Amin dan Abang Bob bertanyakan aku tentang rasanya. Mereka tertawa apabila aku menjawab “cannot go”, yakni terjemahan terus dari istilah ‘toklih gi’(tak boleh pergi) dalam dialek Kelantan. Rasanya sangat manis sehingga aku tak termampu menghabiskannya. Mungkin itu kali terakhir aku menikmati sweet rice. Toksir doh.



Tugasan yang aku terima semakin bertambah. Sedikit sebanyak menyebabkan aku bertambah sibuk. Namun, kadang-kadang ada juga sedetik dua aku terkenangkan tanah air serta orang-orang disana. Tetapi sesungguhnya amat berbeza jika dibandingkan dengan waktu ketika aku mula-mula sampai dahulu. Mungkin, aku kini sudah terjumpa sebahagian besar dari istilah settle down yang aku cari-cari sebaik menjejakkan kaki di tanah Dundee.







*pict1-Dundee Mosque(yang kubah macam cendawan)



Img_4768_1 *pict2-me inside the university

2 Comentários:

Anonymous said...

Ha ha... settle down ek?

Anonymous said...

peh.. terharu aku membaca bingkisan karya mu yg hebat ini.. huhu

Post a Comment

Titipan Kata

'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO