Friday, 16 January 2009

Satu Petang dalam Ingatan

Kipas siling berputar ligat. Aku keseorangan di bilik. Rumet entah dimana. Cikgu Asuar ada meeting dengan Dr Ishak di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP). Biasanya, petang nanti baru selesai. Jam masih belum menghampiri pukul 3.

Handphone Nokia 3120 tiba-tiba berdering, disapa panggilan dari nombor yang aku tidak kenali.

AA: Wei, Mahadi...
M: Ya, sapa ni?
AA: Ni Abg Amet. Aku kt dalam pulau. Hang ada mana la ni?
M: Oh, Abg Amet, kat bilik kat USM ni, awat?
AA: Hang ada keja apa-apa ka nak buat la ni?
M: La ni takdak apa-apa

Tiba-tiba terlintas aku perlu membuat satu panggilan petang ini sekitar 4.30 dan Cikgu Asuar juga selesai meeting dalam lingkungan masa itu.

M: Tapi petang nanti ada keja lain, awatnya?"
AA: Lagu ni, aku ngan trailer kat dalam Penang ni, depan Seagate. Aku nak pi amik lesen aku baru renew kat Juru, tak jauh ngan Autocity. Hang pi hantar aku sat buleh dak?
M: Lama dak tu?
AA: Sat ja. Lepas setel trus balik la.
M: Ok, tunggu situ. Sat lagi sampai

Aku bingkas bangun. Capai 2 helmet dan terus beredar menuju tempat parkir motosikal. Aku memilih jalan short-cut ke seagate. Tidak sampai 10minit tibalah di destinasi. Kelihatan trailer tanpa muatan berkepala putih sedang parkir di bahu jalan, betul-betul depan kilang elektronik Seagate.

Tika itu air laut tengah naik. Aku dapat lihat batu-batu yang ditambak sekitar pantai mulai digenangi air. Air laut masa itu jernih, bayu pula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Daun-daun pohon casuarina yang memberi keteduhan melambai-lambai.

Aku beri satu helmet pada Abg Amet. Dia gapai dan kami terus meluncur laju menuju ke seberang.

Ketika di pertengahan Jambatan Pulau Pinang, EX5 yang kami naiki menunjukkan simptom-simptom kurang bersemangat. Aku tidak terkejut. Agak lama EX5 ini tidak dihantar servis(a.k.a tukar minyak hitam). Maka tidak hairanlah kiranya daya memotong kenderaan-kenderaan lain disepanjang jalan tidak dapat ditunjukkan sepenuhnya. Abg Amet yang membonceng dibelakang sekali-sekala mengomplen betapa banyak kenderaan yang gagal dipotong sempurna. Aku beri alasan bersahaja. Nasib baik adik dia lawa, getus aku dalam hati.

Walupun tika itu bukan waktu puncak, tapi bilangan kenderaan agak banyak. Nasib juga kami guna moto. Mencelah sana, mencelah sini, cilok sana, cilok sini. Akhirnya, sampai jugak kami di destinasi.

Abg Amet masuk ke dalam pejabat pos dan aku menunggu di luar. Tidak sampai sepuluh minit, semua urusan selesai. Abg Amet keluar sambil tersengih.

AA: Hang makan dak lagi? Jom pi singgah kedai tu.

Ala, rugi... fikirku dalam hati. Abg Amet nak belanja di kedai nasi kandar tidak jauh dari pejabat pos. Padahal, aku sedang berpuasa. Mungkin bukan rezeki aku kali ni.

M: Tak apalah. Lain kali sajalah. Nak kena balik cepat ni.

Aku cuba beri alasan.

AA: Ish tak mau ka.
M: Takpa la, takut nanti tak dan...
AA: Kalau camtu jom balikla. Nanti lewat pulak hang tu.

Dalam perjalanan pulang aku dapat perhatikan bilangan kenderaan makin bertambah di highway Juru, Jambatan Pulau Pinang, hinggalah sepanjang highway menuju Bayan Lepas. Kami selamat tiba di depan Seagate tempat trailer parking tanpa sebarang masalah.

Abg Amet menghulurkan sesuatu. Mungkin pampasan kerana tidak berkesempatan belanja lunch masa itu. Riak wajahnya ada sedikit terkilan. Aku sambut lalu simpan kemas.

Jam sudah menghampiri 4.30 petang tika aku tiba di USM. Aku lantas membuat panggilan ke HR USM sepertimana yang telah dipinta sebelum itu.

'Nanti kami akan panggil interview'...

Dipendekkan cerita, itu jawapan yang diberikan kerani yang bertugas. Aku sedikit terkejut. Bersediakah aku, tanyaku dalam hati.

Cikgu Asuar menelefonku sekitar jam 5.30. Khabarnya, meeting dengan Dr Ishak hampir tamat. Aku sudah boleh bersiap sedia.

Menderu aku ke PPIP. Biasanya Cikgu Asuar akan menunggu di depan Dewan Kuliah Z. Namun, tiada sesiapa disitu. Aku cuba call Cikgu Asuar...

'Sikit lagi nak siap, nanti saya call bila dah siap.'

Itu katanya. Aku ambil keputusan untuk ke tebing tinggi berdekatan HEP. Pemandangan indah sejauh mata memandang bisa mendamaikan dam mententeramkan jiwa sementara menunggu.


Di tebing, aku lemparkan pandangan ke jauh selat, jambatan dah jauh ke seberang laut sana. Sebahagian lagu "Kehidupan" yang dialunkan oleh The Zikr bermain-main di fikiran dan menemaniku bersama-sama.

"Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus, tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu, pasti cerah kembali

Ujian adalah, tarbiah dari Allah
Apakah kita 'kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan"

Cikgu Asuar call tidak lama kemudian. Dia sudah selesai meeting dan menunggu ku depan Dewan Kuliah Z.

Dia ajak makan malam di kedai nasi kandar Shariff dekat Minden bila tiba waktu berbuka nanti. Aku mengiyakan sahaja. Selalunya, dia yang akan belanja. Lumrah hidup sebagai student ketika itu.

Aku bawa Cikgu Asuar pulang ke bilik untuk solat asar. Lepas solat, kami terus bertolak ke kedai nasi kandar Shariff. Kelihatan ramai pelanggan sudah beratur ambil giliran. Memang kedai Shariff sebegitu, sangat mendapat sambutan dari dulu.

4 Comentários:

Lutfi said...

'Megomplen'.... tengah duk bersastera dengan 'parkir' dan 'bingkas' tiba-tiba 'mengomplen' pulak.

Mahadi said...

asal nak guna mengomel, tapi itu terlalu manja...huh

k salmi said...

rindunya pada Penang & nasi kandaqnyaaa

Mahadi said...

tula kak Salmi.Sy yg baru ja blik 3bulan lepas dh teringat, apatah lg kak Salmi yg dh kt 2thun tak balik.takpa, nnti balik makan puas2 na..

Post a Comment

Titipan Kata

'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO