Wednesday, 18 February 2009

Persempadanan Lembah Perulangan





Tuan penjaga itu menerima tamu di perkarangan taman. Lalu dibawanya ke bangku panjang dekat pohon tembusu rendang.



Tamu: Kadang-kadang, saya berasa aneh

Tuan: Apakah yang membuatkan saudara berkata demikian?


Tamu: Setelah jauh berjalan, jauh merantau, belajar erti jatuh dan bangun...

Tuan: Ya, teruskan


Tamu: Adakala, apa yang kita ketemu di hadapan perjalanan adalah suatu lembah perulangan hari-hari semalam.


Tuan: Iya, hidup ini lumrahnya sebegitu. Perbatasan kehidupan ada naik dan turunnya. Jadi, lembah yang saudara ketemu itu, menyenangkan perjalanan atau menyesakkan?


Tamu: Ada beberapa kawasan yang menyesakkan. Seakan membenarkan diri untuk jatuh lagi jika perjalanan diteruskan. Dalam hal sebegini, apakah baik diteruskan melewati lembah perulangan, atau dirintis jalan yang lain yang tidak pasti pangkal ketentuan?


Tuan: Itulah gunanya pengalaman. Tetapi sebelum itu, serasa saudara, perjalanan manakah yang dirasakan lebih diingini, dibenarkan nurani dan bukan mengikut kata hati?


Tamu: Saya punya prinsip, punya sasaran, dan terbaik buat masa ini adalah dengan teruskan perjalanan.


Tuan: Jika itu sudah pilihan, maka nanti binalah persempadanan antara perbatasan.


Tamu: Bagaimakah itu?


Tuan: Ramai pengunjung jua punya permasalahan yang serupa. Yang dihadapi hari esok adalah pengulangan hari semalam. Pengulangan yang sesetengahnya amat mengecewakan. Tetapi ada yang membiarkan diri mengulang kesilapan semalam. Dan acapkali terus mengundang rasa kecewa. Apakah ingin diulang perkara yang serupa pada setiap kali disaat sudah diketahui kesudahan?


Tamu: Sememangnya, tiada siapa yang mahu.


Tuan: Pengalaman itu pengajar yang setia. Bersama saudara setiap ketika. Cuma, pandangannya adakala dibiar bersahaja.


Tuan: Dan berasaskan pandangan itu, binalah persempadanan dan tinggalkan tanda peringatan. Supaya jangan didekati kawasan yang pastinya saudara kan hilang pertimbangan, atau kawasan yang pasti saudara kan jatuh, atau kawasan yang dipenuhi lumpur yang separa kelihatan.


Tuan: Supaya selepas ini, dan selepas-selepas ini, persempadanan itu akan jadi tanda ingatan, di situ wujudnya kawasan-kawasan terlarang. Supaya terhindar kekecewaan mengingkari pengalaman. Semoga perjalanan saudara dilindungi dan selamat.


Tamu: Terima kasih diatas jawapan.


Tuan: Itu hanyalah sekadar pandangan. Bisa diambil buat bekalan, bisa juga ditinggalkan. Seperti kata falsafah, jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan jadikan esok lebih baik dari hari ini. Itu yang terbaik buat kehidupan, yang semata-mata persinggahan yang sebentar cuma.


***

Dan tamu pun meneruskan perjalanan. Dan di lembah itu, dia bina tanda-tanda ingatan di persempadanan, yang akan memudahkan dan akan membezakan, antara hari esok dan semalam.

6 Comentários:

Khadijah said...

Love it Mahadi!
Sangat bermakna!

Machina said...

dijahsaad-
Thanks... =)

Nur said...

huh...kamu ambil philosophy jua kah? :D

Machina said...

huhu... kan anda juga sedang study doctor of philosophy...

pali said...

pengalaman juga mengajar erti "kabare" di jawabnya "waras".. Sayugialah Mahadi? Akan! Akan!

Machina said...

FaDhLi aTaRi-
Iya, bener aja...

Post a Comment

Titipan Kata

'

  ©Kehidupan: Catatan Kembara. Template by Dicas Blogger.

TOPO